Monday, January 4, 2010

MASA YANG BERLALU

Cuti persekolahan yang panjang menyaksikan pelbagai aktiviti dan peristiwa suka dan nestapa. Masa yang berlalu dirasakan begitu pantas meninggalkan kita. Benarlah ibarat lama, "Masa tidak menanti sesiapa". Ia akan terus berlalu. Oleh itu kitalah yang perlu mengejar masa dan janganlah berharap masa akan mengejar kita.

Tuhan pun bersumpah dengan masa. Itulah gambaran peri pentingnya masa dalam kehidupan manusia. Tuhan juga menggariskan siapakah orang yang berjaya menguruskan masa. Begitulah sifat pengasihnya Tuhan terhadap makhluk manusia yang diciptaNya.

Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri. Apakah yang telah saya lakukan sehari semalam dalam kehidupan ini. Berapakah bilangan kebaikan kepada sesama makhluk telah kita perbuat. Begitu juga perbuatan baik terhadap Rasul dan Tuhannya.

Setiap masa yang berlalu jadi bernilai jika kita dapat memenuhkan pelbagai perbuatan bermanfaat untuk diri sendiri, insan di sekeliling, makhluk sekeliling dan menurut perintahNya dan RasulNya. Masa yang berlalu tanpa sebarang aktiviti berfaedah akan menyebabkan penyesalan dalam diri sendiri di kemudian hari.

Masa ibarat sebilah pisau di tangan seseorang. Pisau boleh memotong buah untuk dimakan, pisau juga boleh dijadikan senjata untuk melukakan juga membunuh. Oleh itu terpulanglah kepada empunya pisau untuk perbuat sesuatu menggunakan pisau yang ada ditangannya.