Sunday, January 10, 2010

Kaum Hawa

Insan yang memberi kesan dan bekas besar dalam kehidupan seorang lelaki. Kaum Hawa Allah ciptakan sebagai perhiasan dan harta yang bernilai bagi orang lelaki. Allah menyatakan begitu dengan syarat insan ini adalah wanita solehah yang taat akan perintah Allah dan Rasul, taat akan suami.

Molek dan cantiknya seseorang perempuan bukan terletak pada wajah dan bentuk tubuhnya. Cantiknya meliputi sejauh mana dia mengamalkan agamanya. Benar imannya dan sahih amal Islamnya, ditambah akhlak yang murni dan pergantungan yang tinggi kepada Tuhannya. Rasulullah ada bersabda yang maksudnya, "Pilihlah wanita itu kerana kecantikan, hartanya dan keturunannya. Tetapi yang paling bernilai ialah agamanya. Dengan adanya agama kamu akan selamat dunia dan akhirat."

Lelaki sekarang yang kurang ilmu agamanya akan memilih kecantikan wanita, berharta dan keturunan yang baik sebagai pilihan utamanya. Maka haru birulah dia dengan kerenah isterinya yang pelbagai dan memeningkan kepala. Berlakulah perkara luar batasan akal manusia yang berlaku.

Walaupun wanita yang beragama bukan menjadi jaminan dapat masuk syurga, tetapi itulah yang disarankan oleh Nabi kita. Tentu ada hikmahnya. Pokok pangkalnya bergantung kepada ilmu, iman dan amal seseorang lelaki itu. Bertambah ilmunya semakin banyaklah perkara yang diketahui dan semakin jelaslah perkara yang tersembunyi.