Sunday, July 19, 2020

Tuesday, November 9, 2010

AL-QURAN DAN KISAH

Kalau kita membaca Al-Quran, tentu diketemukan dengan pelbagai kisah. setiap juz dalam Al-Quran ada kisahnya. Hal ini membuktikan, bahawa kisah merupakan bentuk pengajaran dan pelajaran yang memberi pengaruh mendalam bagi setiap orang.

Ketika Rasulullah saw melalui peristiwa kematian isteri dan pakciknya, yang mana tahun itu disebut tahun yang penuh duka. Maka, saat itulah turun surah Yusof, surah panjang yang di dalamnya berisi kisah tentang keteguhan, penderitaan dalam dakwah kerana fitnah manusia, hingga kepada kejayaan dakwah nabi Yusof as.

Oleh yang demikian, renungkanlah makna setiap ayat yang dibaca bukan setakat melagu merdukan bacaan. Al-Quran akan berfungsi dalam kehidupan bila kita menggunakannya dalam kehidupan seharian.

ENAM PEGANGAN

1. Agama hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkan agama itu dalam dirinya.
2. Bahagia dan sa'adah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.
3. Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat    menahan akan penderitaan dan kepapaan.
4. Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada Mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t.
5. Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan kerana makna dan guna hidup terletak pada keyakinan dan    perjuangan.
6. Belajarlah menfanakan diri guna kepentingan cita dan Agama.

Wahai Muslim yang beriman kepada kemuliaan dakwah, beriman kepada kesucian fikrah, dan sungguh-sungguh berazam hendak sehidup semati dengan dakwah dan fikrah, marilah ke arah bekerja bukan sekadar mata pelajaran yang dihafaz di bibir. Segala amalan kamu akan dibuktikan oleh Allah, RasulNya, dan orang-orang Mukminin. Yakinlah, kamu semua akan dikembalikan kepada Tuhan Maha Mengetahui segala sesuatu yang tersembunyi dan yang nyata lalu diterangkanNya kepada kamu apa-apa yang telah kamu kerjakan.

adapun selain daripada para pejuang tadi, maka untuk mereka sudah pun ada berbagai-bagai pelajaran, ceramah, kitab, rencana tulisan, tanda lambang, jabatan, dan masing-masing dengan kesanggupannya. Maka berlumba-lumbalah ke arah kebajikan sedang Allah menjanjikan kebaikan kepada setiap pihak. Yakinlah dengan janji Allah yang pasti.

Tuesday, January 19, 2010

percaya

percaya 1. = ~ akan (kpd) mengakui (menerima, yakin) akan benarnya (adanya dll) sesuatu: ~lah kata-kataku, aku tidak bercakap bohong; orang Islam wajib ~ kpd Allah dan Rasul-Rasul serta pengajaran mereka; 2. = ~ akan (kpd) yakin atau berasa pasti (akan kebaikan, kejujuran, dll orang), pasti dapat berbuat sesuatu (akan terhasilnya sesuatu): aku ~ kpd kau, aku tahu bahawa kau jujur; ia ~ cita-citanya akan tercapai; undi tidak ~ undi (dlm mesyuarat, parlimen, dll) utk menyatakan tidak yakin akan kebolehan atau kejujuran dll seseorang (sesebuah parti) yg berkuasa.

Inilah makna atau maksud percaya. Percaya penting dalam kehidupan manusia. Sejak lahir kita dibiasakan dengan percaya ini. Percaya ada orang yang akan menjaga dan merawat kita. Percaya ini bertukar fungsinya menurut tahap umur, ilmu dan emosi seseorang. Contoh, percaya peringkat kanak-kanak berfungsi sebagai mengenali alam persekitarannya. Percaya kepada ibu bapa, keluarga, kerabat dan rakan taulan. Selain itu, persekitaran bersama alam sekelilingnya.

Cara bagaimana percaya ini digunakan untuk mengubah sikap dan kehidupan bergantung bagaimana hati mencernakan konsep percaya. Tugas akal pula mencernakan apa yang dapat ditanggapi daripada pancaindera yang diberikan oleh Tuhan. Ilmu yang dipelajari mengutkan lagi pengetahuan mengenai percaya yang boleh berfungsi.

Sunday, January 10, 2010

Kaum Hawa

Insan yang memberi kesan dan bekas besar dalam kehidupan seorang lelaki. Kaum Hawa Allah ciptakan sebagai perhiasan dan harta yang bernilai bagi orang lelaki. Allah menyatakan begitu dengan syarat insan ini adalah wanita solehah yang taat akan perintah Allah dan Rasul, taat akan suami.

Molek dan cantiknya seseorang perempuan bukan terletak pada wajah dan bentuk tubuhnya. Cantiknya meliputi sejauh mana dia mengamalkan agamanya. Benar imannya dan sahih amal Islamnya, ditambah akhlak yang murni dan pergantungan yang tinggi kepada Tuhannya. Rasulullah ada bersabda yang maksudnya, "Pilihlah wanita itu kerana kecantikan, hartanya dan keturunannya. Tetapi yang paling bernilai ialah agamanya. Dengan adanya agama kamu akan selamat dunia dan akhirat."

Lelaki sekarang yang kurang ilmu agamanya akan memilih kecantikan wanita, berharta dan keturunan yang baik sebagai pilihan utamanya. Maka haru birulah dia dengan kerenah isterinya yang pelbagai dan memeningkan kepala. Berlakulah perkara luar batasan akal manusia yang berlaku.

Walaupun wanita yang beragama bukan menjadi jaminan dapat masuk syurga, tetapi itulah yang disarankan oleh Nabi kita. Tentu ada hikmahnya. Pokok pangkalnya bergantung kepada ilmu, iman dan amal seseorang lelaki itu. Bertambah ilmunya semakin banyaklah perkara yang diketahui dan semakin jelaslah perkara yang tersembunyi.

Monday, January 4, 2010

MASA YANG BERLALU

Cuti persekolahan yang panjang menyaksikan pelbagai aktiviti dan peristiwa suka dan nestapa. Masa yang berlalu dirasakan begitu pantas meninggalkan kita. Benarlah ibarat lama, "Masa tidak menanti sesiapa". Ia akan terus berlalu. Oleh itu kitalah yang perlu mengejar masa dan janganlah berharap masa akan mengejar kita.

Tuhan pun bersumpah dengan masa. Itulah gambaran peri pentingnya masa dalam kehidupan manusia. Tuhan juga menggariskan siapakah orang yang berjaya menguruskan masa. Begitulah sifat pengasihnya Tuhan terhadap makhluk manusia yang diciptaNya.

Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri. Apakah yang telah saya lakukan sehari semalam dalam kehidupan ini. Berapakah bilangan kebaikan kepada sesama makhluk telah kita perbuat. Begitu juga perbuatan baik terhadap Rasul dan Tuhannya.

Setiap masa yang berlalu jadi bernilai jika kita dapat memenuhkan pelbagai perbuatan bermanfaat untuk diri sendiri, insan di sekeliling, makhluk sekeliling dan menurut perintahNya dan RasulNya. Masa yang berlalu tanpa sebarang aktiviti berfaedah akan menyebabkan penyesalan dalam diri sendiri di kemudian hari.

Masa ibarat sebilah pisau di tangan seseorang. Pisau boleh memotong buah untuk dimakan, pisau juga boleh dijadikan senjata untuk melukakan juga membunuh. Oleh itu terpulanglah kepada empunya pisau untuk perbuat sesuatu menggunakan pisau yang ada ditangannya.

Monday, November 16, 2009

TERIMA KASIH

Terima kasih ialah rangkai kata yang biasa kita dengar selepas siap membuat sesuatu pekerjaan. Ucapan ini menjadi penyejuk hati. Ucapan ini menjadi halwa telinga kepada sipelaku kerja. Ucapan manis ini menjadikan yang keras menjadi lembut, yang garang menjadi lunak, yang halus menjadi mulus.

Agama juga mengajar kita untuk berterima kasih. Dapat harta, dapat wanita / isteri, dapat kurnia dan berbagai lagi yang kita dapat. Semuanya disudahi dengan terima kasih, sama ada dengan lafaz atau dengan perbuatan.