Monday, November 16, 2009

TERIMA KASIH

Terima kasih ialah rangkai kata yang biasa kita dengar selepas siap membuat sesuatu pekerjaan. Ucapan ini menjadi penyejuk hati. Ucapan ini menjadi halwa telinga kepada sipelaku kerja. Ucapan manis ini menjadikan yang keras menjadi lembut, yang garang menjadi lunak, yang halus menjadi mulus.

Agama juga mengajar kita untuk berterima kasih. Dapat harta, dapat wanita / isteri, dapat kurnia dan berbagai lagi yang kita dapat. Semuanya disudahi dengan terima kasih, sama ada dengan lafaz atau dengan perbuatan.


Islam mengajar penganutnya mengucapkan terima kasih dengan pelbagai cara. Dapat anak, sunat muakkad membuat akikah sebagai tanda terima kasih kepada Allah. Dapat harta (emas, perak, ternakan, tanaman), Islam mengajar manusia bersyukur dengan mengeluarkan zakat supaya harta menjadi bersih dan tertunai hak harta tersebut. Dapat hidup di muka bumi ini, Allah menyuruh kita bersembahyang lima waktu sehari semalam dan solat-solat sunat sebagai tanda terima kasih kepadaNya. Dapat isteri/ suami, Allah sunatkan kita solat sunat selepas nikah dan sujud syukur sebagai tanda terima kasih. Apabila terlepas daripada sesuatu musibah atau mendapat laba atau rezeki yang tidak disangka-sangka, Islam menggalakkan kita sujud syukur atas kurniaNya. Apabila kita berkemampuan dengan harta dan kudrat, Islam menyuruh kita berterima kasih kepada Allah dengan mengerjakan haji ke Mekah. Selain itu, bersedekah dan memberi hadiah adalah tanda kita berterima kasih kepada Allah atas kelebihan harta yang diberikan olehNya.

Demikianlah sebahagian daripada cara kita berterima kasih kepada tuhan yang menciptakan manusia dan semua makhluk di muka bumi ini. Allah menunjukkan cara yang sepatutnya dilakukan oleh manusia  cara untuk melahirkan terima kasih kepada penciptanya. Bagaimana pula sesama manusia?