Wednesday, October 28, 2009

PEKERJAAN KITA

Semua manusia perlu kepada pekerjaan. Kita bekerja untuk mendapatkan rezeki yang menyara penghidupan sementara kita di atas muka bumi ini. Benarkah pekerjaan sekarang ini memang tujuan hidup kita?


Cuba bayangkan. Seluruh umur kita digunakan untuk bekerja. Kita sibuk menyiapkan segala aktiviti yang berkaitan dengan pekerjaan kita. Kita akur dengan segala titah perintah yang berkaitan dengan pekerjaan kita. Kita akan merasa jaki, kecewa dan putus asa jika terdapat aktiviti dalam pekerjaan kita yang tidak beres dengan sempurna atau terlalai dan terlupa. Begitulah taksubnya kita dengan pekerjaan kita.

Adakah benar umur kita untuk itu? Apa kaitannya dengan agama yang kita anuti? Apa kaitannya dengan adat dan budaya yang kita amalkan? Apa sebenarnya tugas kita di dunia ini? Adakah kita hidup hanya untuk bekerja, berumahtangga, mengurus keluarga, bermasyarakat dan apabila pencen pasrah menunggu saat Izrail datang mengundang kita kembali menemui Rabbul Jalil?

Kita keliru antara tugas hakiki, kerjaya, tanggungjawab dan peranan kita berada di atas muka bumi ini. Tugas hakiki manusia ialah menjadi hamba kepada tuhan yang menciptakan dirinya. Tugasnya hanya mengakui bahawa tuhan itu esa, melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang daripada melakukan sesuatu perbuatan atau amalan. Ganjaran dia berbuat semua perkara tersebut ialah syurga ciptaan tuhan yang menciptakan dia tetapi jika sebaliknya akan diberi ganjaran neraka pula.

Kerjaya pula adalah sebagai mata punca untuk rezeki yang digunakan untuk dia hidup di atas muka bumi ini. Kerjaya ini pelbagai jenis dan rencamnya. Ada yang mudah dan ada yang payah. Tetapi tuhan tidak melihat kepada kerjaya ini. Tuhan masih tetap kembali kepada tugas hakiki manusia itu dijadikan. Malahan jika kita bekerjaya dengan niat untuk dapat melaksanakan tugas hakiki dengan sempurna dan jayanya, tuhan akan memberi kita dua ganjaran. satu untuk ganjaran dunia dan satu lagi untuk ganjaran akhirat.

Tanggungjawab pula suatu perkara yang menjadikan manusia itu bernilai atau tidak daripada kaca mata manusia dan juga tuhan. Tanggungjawab ini rencam untuk setiap individu manusia menurut jantina, peringkat umur dan taraf dalam masyarakat. Keberkesanan pelaksanaan tanggungjawab ini bergantung kepada ilmu, keikhlasan, kesungguhan, ketekunan dan kudrat individu.

Peranan merupakan hasil pelaksanaan tanggungjawab. Semakin besar peranan seseorang individu, semakin tinggi tanggungjawab yang perlu dipikul oleh individu tersebut.